Perjuangan Abdullah Hassan

Prof. Abdullah adalah antara sarjana yang kuat memperjuangkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan demi memandaikan rakyat, bagi mengekalkan nilai dan jati diri melalui himpunan memori bangsa yang dipindahkan hanya melalui bahasa peribumi, dan demi membina kreativiti peribumi. Prof. Abdullah Hassan juga bergerak aktif dalam aktiviti persatuan bahasa. Beliau adalah ahli seumur hidup Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM) dan Persatuan Linguistik Malaysia (PLM). Pada masa ini beliau adalah Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia (1997 - sekarang). Di bawah pimpinannya beliau meneruskan usaha mengadakan persidangan penterjemahan antarabangsa, iaiatu Persidangan Penterjemahan Antarabangsa Ke-7 (1999), Ke-8 (2001), Ke-9 (2003), ke- 10 (2005), dan yang terakhir Persidangan Penterjemahan Antarabangsa Ke-11 (PPA-11) yang diadakan pada 21-23 November 2007. Persidangan itu dianjurkan oleh Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM) dan Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad (ITNM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Akademi Pengajian Melayu (APM) Universiti Malaya (UM).[1]